TERKINI

Ekspo produk halal terbesar di Malaysia, MIHAS yang pastinya menjanjikan pameran yang sangat bermanfaat bagi industri halal. Jangan lepaskan peluang.

ACARA

WHF 2011 mengumpulkan sekian ramai mereka yang terlibat dengan industri halal bagi bertukar pandangan dan berbincang. Ayuh berforum.

PAKATAN

Peribahasa ada berbunyi "Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat" justeru usaha semua pihak diperlukan dalam mendepani isu halal.

MAKANAN

"You are what you eat" Sudah pastikan halal?.

PESANAN

Peringatan bersama buat kita yang sentiasa lupa dan alpa

>
Photobucket

Tuesday, February 22, 2011

Kenyataan Akhbar PEHMA Berhubung Isu Halal di Sarawak

Isu halal bukanlah asing bagi kita. Hampir setiap hari disentuh oleh media massa. Tidak dinafikan berlaku peningkatan dari pada pencapaiannya dari sudut pemahaman, kesedaran dan perlaksanaan. Apalagi semenjak negara bertekad menjadi Hab Halal Dunia. Pelbagai usaha digembeling bagi mencapai maksud ini.

Namun terdapat tindakan-tindakan segelintir pihak yang bukan sahaja tidak membantu, bahkan merencat dan mencacatkan perkembangan baik ini.

Terbaru isu halal di sebuah rumah sembelihan di Sarawak. Serbuan Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) ke atas premis menggemparkan semua. Ayam mati kerana lemas dan sembelihan yang tidak menepati syarak. Ini semua pasti meremukkan hati umat Islam yang menjadi pengguna terbesar di negara ini.

Lebih malang lagi ialah kerana ianya berlaku di rumah sembelihan yang telah mendapat persijilan halal dan telah diberi amaran sebelum ini di atas keingkaran mereka.

Soal halal adalah sesuatu yang tiada kompromi bagi seorang Muslim kerana ia merupakan simbol pengabdian kepada Yang Maha Kuasa.

Meneliti isu ini, Persatuan Profesion Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA) mendapati ianya berlaku disebabkan ketiadaan Pegawai Eksekutif Halal atau Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) di pihak industri bagi mengendali dan memastikan pematuhan prosedur pensijilan halal. Sebagaimana yang termaktub di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia di bawah Perkara 6.4 Keperluan Umum Bagi Pensijilan Halal.

Selain itu, MS1500:2009 (Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum (Semakan Kedua)) yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia juga dengan jelas menggariskan dalam Perkara 3.1.1 (Keperluan: Tanggungjawab Pengurusan) iaitu pihak pengurusan hendaklah melantik pegawai eksekutif halal yang beragama Islam atau mewujudkan jawatankuasa yang terdiri daripada orang Islam yang bertanggungjawab memastikan perlaksanaan sistem kawalan halal dalaman.

Adalah mustahil bagi JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk melakukan pemantauan secara harian di semua premis memohon atau mendapat pensijilan halal di seluruh negara. Maka di sinilah letaknya peranan pegawai eksekutif halal bagi memelihara perut-perut umat Islam dari dicemari makanan yang haram dan syubhah.

Keberadaan pegawai eksekutif halal adalah sesuatu yang sangat mendesak demi menjamin status halal produk yang dihasilkan pihak industri makanan dan barang gunaan. Ini kerana peranan besar mereka dalam membangunkan sistem kawalan halal dalaman melalui polisi, pemantauan, audit dalaman, dokumentasi dan latihan halal berkala.

Sekiranya pihak industi serius dengan mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan MS1500:2009 dengan melantik pegawai eskekutif halal dalam industri, nescaya perkara-perkara seperti yang kita dengar pada hari ini tidak akan berlaku lagi.

PEHMA komited terhadap perkara ini. Ianya bukan sahaja mempercepatkan hasrat kerajaan mencapai Hab Halal Dunia yang berintegriti dan diyakini oleh masyarakat dunia bahkan yang lebih utama ialah sumber-sumber makanan dan bahan gunaan umat Islam dipelihara sebaiknya.


Sekretariat
Persatuan Profesyen Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA)
Bandar Seri Putra, Bangi
29 Disember 2010

Isu Makanan Tidak Halal Boleh Ancam Negara

Saya merujuk akan artikel dalam Utusan Malaysia 8hb. Februari 2011 bertajuk ' Isu Logo Halal Tiada Kesudahannya'.

Dilaporkan hasil kajian oleh unit khas Utusan Malaysia mendapati bahawa amat banyak makanan harian yang paling biasa dimakan atau dijual dijual di pasar raya; jelas tidak halal dan sangat meragukan. Bahkan yang telah diharamkan pun masih dijual bebas secara berleluasa.

Di samping itu ada barang makanan yang dinyatakan 'halal' oleh pengusaha makan tetapi tiada dalam senarai 'Halal Jakim' ; namun terpampang logo 'halal Jakim' pada bungkusan makanan tersebut.
Adakah memang salah pengusaha makanan memalsukan logo 'halal' atau pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang gagal menjalankan tugas?

Dalam konteks orang Islam, umumnya makanan tidak halal itu cenderung merujuk sebarang unsur yang berkaitan babi, minyaknya, gelatin babi serta dari binatang yang tidak disembelih dengan kaedah yang sah di sisi agama Islam.

Jika memakan hasil sembelihan tanpa kaedah Islam yang betul, maka ia setaraf memakan haiwan yang mati iaitu dianggap sebagai bangkai.

Saya khuatir, kelemahan penguatkuasaan, pemantauan dan kegagalan mematuhi garis panduan ini akan menimbulkan empat perkara :

a) keresahan pengguna, perasaan benci dan marah yang terpendam di hati oleh umat Islam terhadap pengeluar atau pengusaha makanan bukan Islam. Kemarahan terpendam ini boleh mengancam keselamatan negara, walhal mungkin ada pengusaha yang benar-benar telus dan berusaha memenuhi kriteria halal yang diperlukan. Isu halal dan haram ini amat sensitif.

b) hilang dan luntur kepercayaan rakyat terhadap institusi Islam seperti Jakim dan agensi-agensi penguatkuasa yang di bawah kelolaan kerajaan, yang memberi kesan terhadap pemerintahan negara. Sepatutnya menteri yang berkaitan kepenggunaan dan bidang hal ehwal umat Islam perlu proaktif akan perkara ini.

c) Sepatutnya Malaysia menjaga statusnya sebagai negara Islam yang dibanggakan oleh negara luar apabila menjadi 'Halal Hub' di rantau Asia. Kegagalan Malaysia mengurus dan menjaga status makanan halal bagi rakyat sendiri dikhuatiri akan merosakkan reputasi negara dan merencatkan penglibatan pelabur-pelabur dari Timur Tengah dan lain-lain negara Islam dalam industri pemakanan negara.

d) Penyalahgunaan logo halal dari pelbagai agensi Islam secara berleluasa termasuk 60 peratus logo halal Jakim akan boleh merangsangkan lagi pengusaha makanan atau pemilik pasar raya yang majoritinya bukan Islam untuk mengambil jalan mudah, melanggar undang-undang dan mengenepikan soal 'halal dan haram'; yang boleh mewujudkan konflik agama dengan majoriti umat Islam dalam negara ini. Ini amat merbahaya, dan sesungguhnya mencegah dari awal itu lebih baik untuk mengelakkan nasi menjadi bubur.

Semoga pihak kerajaan, agensi berkaitan dan pengusaha industri makanan, mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini demi kebaikan dan keharmonian semua secara bersama; juga diharap pemilik dan pengusaha makanan bukan Islam yang jujur dan mematuhi undang tidak menjadi mangsa prejudis kerana konflik ini.


Ibni Khalid Jurait
www.malaysiakini.com