>
Photobucket

Sunday, February 27, 2011

JAKIM: 366 Hotel, Resort Disah Halal


PUTRAJAYA, 23 Feb — Sebanyak 366 hotel dan resort di seluruh negara telah menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 77 sijil dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 289 lagi dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (Jain).
“Daripada 366 hotel dan resort tersebut, 273 buah iaitu 74.59 peratus adalah hotel bertaraf tiga hingga lima bintang, 53 buah atau 14.48 peratus bertaraf satu hingga dua bintang, manakala 40 buah iaitu 10.93 peratus hotel bajet yang ada perkhidmatan sajian dan resort yang ada perkhidmatan sajian tanpa penginapan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Jamil Khir sebelum itu menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Hotel Pullman dan Hotel Thistle.
Berdasarkan rekod, terdapat 1,574 hotel dan resort di negara ini yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, yang mana 412 adalah bertaraf tiga hingga lima bintang.
Jamil Khir berkata kesemua 412 hotel bertaraf tiga hingga lima bintang itu disasar memiliki sijil halal menjelang akhir tahun ini.
Jakim dan Jain kini menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho) untuk mencapai sasaran tersebut, katanya.
“Sijil ini juga merupakan salah satu strategi pemasaran kerana ia dapat menambahkan keyakinan pelanggan termasuk pelancong terutama dari Timur Tengah.
“Ini kerana pakej halal ini bukan sahaja mengenai bahan yang digunakan dalam sesuatu makanan, tetapi juga proses penyediaan makanan tersebut dari mula sehingga akhir termasuk dari segi penyimpanan dan kebersihan,” katanya.
Jamil berkata semua hotel dan resort yang ingin mengadakan program berbuka puasa pada bulan Ramadan juga perlu mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Maklumat lanjut berkenaan pensijilan halal Jakim serta senarai pemegang Sijil Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jakim dan Jain boleh didapati di portal halal Malaysia di www.halal.gov.my, katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment